GENERASI JIWA MERDEKA
Oleh : Mohd Zikri Zainudin
Mukadimah
"Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang" merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan 2007. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50, tema ini dipilih bersesuaian dengan manifesto bagi memartabatkan peranan generasi muda dalam menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan hakiki. Sebagai golongan pelapis, mereka sewajarnya menjadi sandaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita yang sudah berusia setengah abad ini agar Malaysia terus kekal gemilang dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Martabat dan maruah bangsa perlu terus dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan agama, bangsa, dan negara. Generasi muda merupakan pewaris yang bakal membawa risalah kebenaran dan keadilan untuk kesejahteraan ummah bersama. Generasi ini harus memahami makna kemerdekaan sebenar agar mereka dapat memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri supaya menjadi generasi unggul yang dapat memanfaatkan segala kurniaan Tuhan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Makna kemerdekaan dan kebebasan yang hakiki dapat dizahirkan apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada segala perkara yang membawa kepada keburukan seterusnya berpotensi mengancam kehidupannya. Maka generasi yang berjiwa merdeka ini seharusnya tidak mudah dipujuk rayu, termakan akan janji palsu, dan tidak mudah untuk menggadaikan jiwa semata-mata untuk dimamah oleh hawa nafsu mereka yang berupaya membawa kepada kemudaratan.
Seterusnya...
Siswazah Muda ABIM Sabah
Biro Siswazah Muda ABIM Sabah lebih dikenali sebagai SISMA. Biro ini ditubuh khas bagi mengumpulkan lapisan generasi muda ABIM yang terdiri daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi di IPT mahu pun yang masih menuntut dan yang telah tamat pengajian untuk berpartisipasi secara aktif dan serius dalam aktiviti-aktiviti belia. Ianya ditubuhkan khusus untuk melatih dan melahirkan siswazah muda Islam yang dinamik yang mampu menyumbangkan tenaga dalam usaha-usaha dakwah dan kebajikan dikalangan masyarakat khususnya dikalangan generasi muda di Sabah. SISMA juga berperanan melahirkan intelektual-intelektual muda yang dapat menyumbang kepada pembangunan ummah dan menyokong serta mendokong ABIM untuk membina Khayra Ummah.
Seindah Bahasa Pembuka Bicara
Posted by
Siswazah Muda ABIM
February 26, 2007
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana izinNya dan hidyahNya, kita dapat menghasilkan laman web rasmi Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah. Hasil daripada bimbingan Bro Faizul Afzan, kita dapat membina laman web atau blog yang tidaklah canggih tapi mungkin dapat menyumbang kepada masyarakat khususnya kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah untuk mencari ilmu dan informasi yang dapat mereka manfaatkan. InsyaAllah dengan adanya blog ini SISMA dapat menyampaikan informasi dengan lebih efisyen dan efektif kepada masyarakat tentang aktiviti SISMA dan juga aktiviti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan juga dapat mengeratkan ukhuwah antara ahli SISMA dengan adanya "live chatting" dimana anda dapat berkongsi pendapat dan pandangan. Jika anda ingin menyumbangkan karya anda didalam blog ini, kami amat mengalukan hasil karya anda untuk sama-sama kita berkongsi idea dan pandangan tentang sesuatu isu. Di harap dengan adanya blog ini dapat mengukuhkan lagi perjuangan SISMA dalam menegakkan kebenaran dan keadilan dan semoga Allah memberkati usaha kita ini.
Yang Benar
Mohd Zikri Zainudin
Setiausaha Agung SISMA
Yang Benar
Mohd Zikri Zainudin
Setiausaha Agung SISMA